#MenganyamNusa: Muzik, Lagu dan Identiti Kebangsaan | Kawah Buku x Institut Nyala - a podcast by Kawah Buku

from 2021-09-30T08:01:03

:: ::

Muzik dan lagu tidak hanya berfungsi sebagai hiburan semata-mata. Bermula mungkin sebagai suatu persembahan buat entiti metafizik yang dianggap sebagai maha kuasa samada dalam bentuk tuhan, dewa, makhluk ghaib atau semangat yang dipercayai oleh sesuatu komuniti itu, kini menerusi proses pemodenan masyarakat, muzik dan lagu juga telah menjadi sumber peluahan ekspresi diri individu, bahan komoditi perdagangan dan perniagaan, produk pelancongan, alat kuasa lunak (soft power) serta identiti sesuatu bangsa, etnik dan suku kaum serta boleh juga berfungsi sebagai pembangkit kesedaran serta perlawanan. Muzik dan lagu juga turut digunakan oleh negara (state) sebagai suatu sarana untuk propaganda kerajaan dan  usaha-usaha negara dalam membina kesedaran kebangsaan bersama khususnya buat negara-negara yang rencam budaya. Malaysia sebagai sebuah negara yang rencam budaya tentunya tak terelak dalam usaha mentakrifkan muzik dan lagu sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang ingin ditonjolkan. Mungkin terdapat lima aras analisis yang boleh diteroka dalam konteks perbahasan tentang muzik, lagu dan identiti kebangsaan ini. Pertamanya takrif negara, keduanya takrif negeri-negeri yang ada dalam Persekutuan Malaysia, ketiganya takrif daripada masyarakat yang berbilang etnik dan suku kaum yang ada di Malaysia, keempatnya takrif pasar (market) tempatan serta antarabangsa, dan kelimanya takrif individu yang menghasilkan dan pengguna yang mengkonsumsikannya. Modeniti (modernity) dengan segala aparatus, tanda, simbol, fungsi, kehendak, situasi dan ideologi-ideologi yang mengiringinya telah menjadikan persoalan muzik, lagu dan identiti kebangsaan sesuatu yang rumit, kompleks dan mencabar untuk diuruskan.


Di satu sisi proses globalisasi dan kapitalisme pasar yang cenderung menghakis identiti tempatan termasuk muzik dan lagu. Di satu sisi yang lain terdapat kebangkitan dan perlawanan yang dilakukan oleh aktivis-aktivis budaya tempatan terhadap proses penyeragaman identiti menerusi globalisasi. Manakala di satu sisi lain pula yang masih menjadi tandingan di tingkat kebangsaan ialah kita sesama kita warga Malaysia masih bergelut dan bergulat untuk mentakrifkan identiti kebangsaan Malaysia. Walaupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah 50 tahun berlalu, persoalan identiti kebangsaan masih belum terselesai. Justeru, dalam menangani kerumitan modeniti (modernity) khususnya dalam konteks pembinaan identiti kebangsaan dan hubung-kaitnya dengan muzik serta lagu, sebuah perbincangn melibatkan tiga orang pakar dalam bidang seni dan muzik iaitu Eddin Khoo (PUSAKA), Adil Johan (KITA UKM) dan Shazlin Amir Hamzah (KITA UKM), serta dimudahcara oleh Johan Ariff (Iqbal M), untuk membahas, merungkai dan seterusnya mencerahkan kita dalam perbincangan sempena dengan Bulan Hari Kebangsaan dan Bulan Hari Malaysia yang sama-sama kita sambut pada tahun ini.


Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 3 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.

Further episodes of Teh Tarik Podcast

Further podcasts by Kawah Buku

Website of Kawah Buku